Sunday, December 12, 2010

MENJEBAK PIPIT UBAN

Bunyi kokokan ayam yang panjang mengejutkan aku dari lamunan yang hampir melenakan aku semula. Aku terus merenung hutan kelapa sawit yang masih berbalam-balam dihening pagi yang masih awal benar. Lama benar aku tak menikmati keindahan sebegini.
Kenangan menerjah lagi. Aku terus terkenang disuatu ketika dulu, saat pagi masih remang, aku akan dikejutkan ayah bila diwaktu cuti sekolah. Tugas aku adalah pergi ke sawah padi seawal yang boleh untuk menghalau pipit yang aktif diwaktu pagi. Aku jarang menolak. Mungkin rasa seronok bila berjalan diremang pagi melintasi denai yang dipagari rumput-rumput yang adakalanya lebih tinggi dari aku dan dibasahi embun pagi yang dingin. Aku seolah bermandi embun bila melalui denai sebegitu.Itu pun kalau tiada yang mendahului aku melalui denai tersebut. Kalau aku terlewat maknanya habis la sudah embun pagi dijatuhkan oleh orang lain. Sebab tu bila aku dikejutkan ayah, aku bangun tanpa sebarang rungutan. Selepas saja mencuci muka, aku pasti bertolak seawalnya tanpa sebarang sarapan. Aku tau, sekitar pukul lapan nanti ayah atau mak pasti akan menyusul bersama sarapan pagi untuk aku.
Tiba di pondok sawah, pagi dah mula cerah. Perjalanan memakan masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke destinasi. Aku pantas memanjat naik tangga pondok dan menarik tali temali yang dihubungkan ke sekitar kawasan sawah padi. Bertujuan untuk menghalau pipit yang cuba memakan susu padi yang sudah mula mekar. Selesai semua tali penghalau pipit digoyangkan, aku menyusup masuk ke bawah pondok dan memjinjing keluar 4 buah jebak pipit yang direka 4 pintu setiap satu. Jebak ini dibuat sendiri dari pokok kulapa (nama panggilan tempatan yang berupa seperti salak hutan.) Pokoknya sama seperti pokok salak dan juga berbuah seperti salak cuma beza pada pokok yang jauh lebih besar dari pokok salak. Kami gunakan batang daunnya yang keras diluar dan lembut didalam sebagai bingkai dan pagar jebak.
Selesai mematahkan beberapa batang padi untuk dijadikan umpan, aku lantas meletak jebak di beberapa tempat yang difikirkan sesuai dan selalu jadi tumpuan sang pipit berhimpun. Dengan bantuan denak yang terkurung di tengah jebak pasti ada pipit yang teperangkap. 4 jebak siap dipasang. Aku kembali dengan tugas ku dipondok menghalau pipit sambil menunggu sarapan tiba dan juga masa untuk menjengah jebak. Perangkap pipit bukanlah kami buat untuk sekadar suka-suka. Selain menunjukkan seni pertukangan kami dikalangan rakan, kami juga cuba memperlihatkan kemahiran kami menjebak pipit. Pipit coklat beruban di kepala ada tangkapan paling membanggakan lantaran kesukarannya untuk ditangkap.Pipit coklat tanpa uban mendapat tempat kedua dan pipit hitam adalah jenis yang paling tidak digemari penjebak pipit seperti kami. Sekitar jam 10 pagi pulak atau selepas sarapan, kalau dapat kebenaran dari mak atau ayah, aku akan berada di tepian sawah bendang mencari tempat sesuai untuk menahan jerat burung keruak. Kalau rajin, banyak lah ditahan. Kalau malas, paling pun dalam 5 pasang jerat. Adakalanya aku sekadar mengumpankan semula jerat yang ditahan sebelum ini. Adakalanya aku akan pindahkan. Setiap burung yang berjaya ditangkap akan dijadikan lauk tenghari. Seandainya tak mencukupi, aku sekadar melepaskan semula. Kalau setakat seekor dua, mesti tak berbaloi nak siang dan buang bulunya.
Aku tersentak lagi. Tersedar dari lamunan bila terdengar suara anak menangis. Segera ku masuk kembali ke bilik memujuk anak kecil ku. Kenangan bersawah padi hilang dari lamunan namum tetap segar dalam ingatan. Kini tiada lagi sawah padi. tiada lagi bau lumpur yang sering ku redah dizaman kanak-kanak dulu. Kampung  ku benar-benar berubah.

No comments:

Post a Comment