Thursday, December 2, 2010

CERITA BUDAK KAMPUNG 2..

Arus surut kian menjadi-jadi. Hati aku seperti digaru oleh keinginan memancing di jeti kampung yang tidak berapa kukuh dan terletak tidak seberapa jauh dari rumah kami. Di tangan ku sudah tersedia lebih sepuluh ekor udang yang ku dapatkan dari tong ais ayah dan juga terbimbit 2 gulung pancing koyan yang digulung di botol bekas sabun peluntur yang berwarna putih. Adik aku pulak menjinjit sebuah baldi kecil. Hari semakin merangkak petang. Kami lantas menaiki sebuah bot enjin dalam yang terikat di jeti kecil tesebut dan dengan pantas melabuhkan pancing yang berumpan udang. Arus surut yang kuat tidak kami hiraukan. Bot beroleng sedikit kerana pergerakan kami dan menghasilkan bunyi keruit kecil tatkala badan bot bergeser dengan tiang jeti. Kami tahu, kami dua beradik kesuntukan masa. Kehadiran kami di jeti tatkala petang merangkak maghrib adalah dilarang sama sekali. Namun kami nekad untuk membuktikan bahawa masa sebegitu adalah masa yang terbaik untuk melabuhkan pancing. Satu demi satu kami silih berganti menerima rentapan sang ikan. Hanya ikan sembilang yang aktif saat itu tapi bukan masalah bagi kami. Apa yang penting adalah ikan. Tiba-tiba kedengaran suara ayah melaung nama kami berdua. Ikan sembilang baru 2 ekor ditawan. Kami bukanlah pengail mahir. Mudah untuk kami dibuli oleh sang sembilang. Laungan ayah tidak kami pedulikan. Suasana semakin samar. Aku semakin resah dan suara ayah semakil lantang. Nahas kalau dia turun menjemput kami. Ikan sembilang bertambah lagi. Cukup 4 ekor, aku mengambil keputusan untuk berhenti. Senja dah menyelubungi. Baki umpan kami buang dan pancing kami gulung lalu kami melangkah naik ke rumah. Tiba di anak tangga, kelihatan ayah dengan wajah yang marah. Ku lihat tangan kirrnya yang cuba disembunyikan di belakang, memegang tali pinggang. Adik lantas menghulur baldi berisi 4 ekor ikan sembilang yang masih hidup. Suara ayah menurun. Kami naik kerumah dengan hati yang lega namun kami tetap dapat amaran keras. "JANGAN BUAT LAGI" suara ayah agak keras. Mungkin kerana kami masih kecil untuk berdepan dengan perkara-perkara yang tidak dijangka semasa di jeti dikala maghrib.
Apa pun, semua tu tinggal kenangan. Jeti kecil pun sudah di tukar dengan jeti simen yang kukuh. Tiada lagi sapaan ikan sembilang dikala maghrib sewaktu air surut deras. Semuanya hanya tinggal kenangan.

No comments:

Post a Comment