Monday, November 29, 2010
CERITA BUDAK KAMPUNG..
Melihat titis-titis hujan yang rancak bersilih ganti menghempas apa sahaja objek di depan ku, membuatkan aku teringat suatu ketika dulu, saat aku masih kecil. Waktu begini adalah antara waktu yang menjadi kesukaan aku. Ini kerana selepas waktu hujan, aku dan rakan-rakan sebaya pasti akan berada di pinggiran jalan tanah merah yang dialiri air hujan. Maka kami lah yang akan bergembira bermain dengan air yang mengalir tersebut. Menahan aliran air dengan menggunakan tanah. Lalu melihat air mula berkumpul dan melimpah melepasi empangan kecil yang kami bina. Lalu terciptalah iar terjun kecil untuk seketika sebelum kami sendiri merobohkan empangan tersebut. Seandainya bukan mengempang aliran air di tepi jalan, kami pasti berada di padang bola yang berlumpur merah. Bergelak ketawa mengejar bola. Pura-pura tersungkur dan merebahkan diri ke dalam lumpur. selepas puas berkejaran atau bermain di tepian jalan tanah merah, kami akan berterjunan ke sungai membersihkan diri. berenang ke sana sini dengan bebas. Tanpa perasaan takut mengganggu kami. Selepas semua itu, kami akan berpecah dan pulang kerumah masing-masing. Aku pulang ke rumah dengan baju yang basah kuyup. Adakalanya aku akan di marah dan ada kalanya aku sekadar di suruh mandi dan bertukar pakaian. Selepas selesai bersihkan badan, bertukar pakaian, aku selalunya akan ke dapur mencari ubi rebus berlaukkan ikan kering. Sungguh sedap tapi itu cerita dulu. Cerita tentang budak kampung. Kini apa yang ku lihat, kebanyakan budak sekarang tak lagi buat apa yang kami lakukan dulu. Aku sebagai Budak Kampung, terus meyimpan semua kenangan itu sebagai satu memori yang manis. Sayangnya, zaman itu, kami belum kenal apa itu kamera, apa lagi handphone. Hanya sekadar cerita yang seronok dibualkan bila bertemu dengan rakan sebaya yang sama-sama pernah merasai pengalaman begitu..
Monday, November 22, 2010
Aku Budak Kampung
Keindahan kampung begitu menggamit perhatian ku. Mungkin kerana aku dibesarkan di kampung dan amat menggemari suasana kampung. Kesunyian malam yang berteman bunyi burung-burung malam, Keheningan subuh tanpa gangguan bunyi kenderaan. Malah kehijauan pohonan hutan yang membuat aku merindui kampung.
Sukar benar aku berpisah dari suasana kampung. Banyak benar kenangan yang aku ukir bersama rakan di kampung. Zaman kanak-kanak yang masa aku amat berbeza dengan kanak-kanak zaman sekarang. Andai diceritakan kenangan dulu pada budak sekarang pastinya mereka kurang percaya. Memang betul sukar di percaya tapi itu lah perubahan zaman. Tiba zaman mereka, itu lah yang mereka lalui. Apa pun. ini ada salam perkenalan. InsyaAllah nanti aku akan cuba nukilkan kenangan itu di sini.
Subscribe to:
Posts (Atom)